Sejarah skdt

Sekolah pertama di Durian tunggal tidak dapat dipastikan dengan tepat. Mengikut rekod JPM, sekolah yang mula-mula sekali didirikan ialah di Solok Bukit Balai, pada tahun 1860. Sekolah ini merupakan sebuah bangsal yang dibina di tepi sungai berhampiran dengan rumah Datuk Sidang Hussin sekarang. Beberapa tahun kemudian, sekolah ini dirobohkan dan digantikan pula dengan dua buah sekolah baru, sebuah sekolah lelaki dan sebuah sekolah lagi khas untuk perempuan. Sekolah lelaki didirikan di pekan Durian Tunggal (di belakang bangunan kedai MARA sekarang) manakala sekolah perempuan bertempat di Solok Padang Kerbau (di kawasan masjid Durian Tunggal). Sekolah perempuan ini kemungkinan terpaksa ditutup kerana kurang mendapat sambutan. Pelajar perempuan di sekolah itu dipindahkan ke sekolah lelaki di pekan Durian Tunggal. Pada 30 Dis 1929, sebuah sekolah baru siap dibina oleh kerajaan di Solok Padang Kerbau dan diberi nama Sekolah Melayu. Semua murid yang belajar di sekolah pekan itu telah dipindahkan ke sekolah baru ini dan menjadikan pelajarnya seramai 150 orang. Selepas negara kita mencapai kemerdekaan, nama sekolah ini telah ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal. Sebuah bangunan tambahan telah dibina kerana bilangan pelajar semakin bertambah. Bangunan yang diberi nama Sekolah B itu dibina pada tahun 1964. Ianya telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Tun Ghafar Bin Baba (Ketua Menteri Melaka pada masa itu) pada 2 disember 1964. Bangunan Baru ini mempunyai 3 bilik darjah dan sebuah pejabat Guru Besar. Pada tahun 1978, sebuah lagi bangunan tambahan (blok C) didirikan disebabkan oleh halangan yang timbul, bangunan ini hanya dapat disiapkan pada tahun 1983, ianya mengandungi 4 bilik darjah, 3 stor, sebuah bilik guru, sebuah bilik pejabat, dan dua buah tandas murid. Dengan pembinaan rumah awam peringkat satu dan dua di kawasan berhampiran, bilangan murid sekolah ini telah meningkat. Hingga hampir 500 orang. Memandangkan kekurangan kelas untuk menampung bilangan murid yang bertambah itu, maka satu blok bangunan baru 4 tingkat didirikan pada tahun 1989 dan mula digunakan pada bulan disember tahun itu juga Bangunan 4 tingkat ini mengandungi sebuah pejabat, termasuk bilik Guru Besar dan guru, 13 buah bilik darjah, perpustakaan, bilik TV, surau, bilik cetak dan sebuah bilik sains.
No comments:
Post a Comment